Media melaporkan berlaku kenaikan harga barangan di sesetengah tempat seperti di Ipoh dan Melaka. Kenaikan sekitar 50 sen hingga RM 1 bagi sebahagian besar keperluan barangan harian ini sangat menekan pengguna dan masyarakat. Menurut peniaga, bahan mentah seperti ikan, udang, sotong semakin berkurangan dan ini menyebabkan berlakunya kenaikan harga barangan, selain faktor pengangkutan dan upah pekerja.
Hal ini berlaku disebabkan senario global seperti kenaikan harga makanan dunia. Menurut FAO, Index harga makanan meningkat pada pada Disember 2010 mengatasi tahun 2008 dan pada Mac 2011, harga menurun sedikit dan stabil pada bulan April 2011, walaupun harga ini masih tinggi. Dunia turut mengalami kekurangan air untuk pertanian di samping berlaku perubahan cuaca yang menjejaskan kehidupan masyarakat luar bandar dan keselamatan penduduk seperti kes kematian yang tinggi dalam kalangan kanak-kanak di Somalia akibat kekurangan makanan.
Kenaikan harga minyak dunia juga amat menyesakkan masyarakat dunia. Menurut Associates Press, harga minyak dunia dijangka meningkat melebihi AS$100. Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) mengumumkan tidak akan meningkatkan pengeluaran minyak mentah. Manakala penggunaan minyak dunia dijangka akan bertambah sebanyak 2% pada tahun ini dengan purata 88.4 juta tong sehari. Kemelut peperangan Timur Tengah yang masih berterusan juga menyebabkan harga minyak melonjak kepada 25% merupakan antara catatan tertinggi setakat ini (Januari hingga April 2011).
Selain itu, harga gas dunia turut mengalami kenaikan, walaupun pada dasarnya harga arang batu lebih stabil berbanding minyak dan gas. Harga arang batu dilaporkan pada Mac 2009 hanya AS$85 dan kini telah mencecah lebih AS$120 setiap tan.
PERSEDIAAN PENGGUNA
Bersederhana dalam kehidupan adalah petua terbaik untuk mengawal nafsu daripada berbelanja secara berlebihan seperti mengurangkan perbelanjaan dapur dan belanja makanan. Langkah-langkah untuk menjimatkan perbelanjaan ialah:
a) Membeli secara pukal
Anda boleh membeli barangan secara pukal untuk barangan harian yang tahan lama seperti beras, minyak masak, sabun basuh dan syampu untuk sebulan sekali. Bagi barangan basah seperti ikan, ayam, sayur-sayuran dibeli secara 2 minggu sekali. Anda boleh menyimpan makanan di dalam freezer untuk mengekalkan kesegaran makanan tersebut. Anda perlu rancang pembelian dengan menyediakan senarai barangan yang perlu dibeli. Elakkan daripada membuat pembelian yang tidak dirancang.
b) Jualan promosi
Promosi jualan murah semakin diperhebatkan menjelang musim perayaan ini. Persaingan sengit yang sihat ini akan memberi pilihan kepada pengguna. Menurut pakar psikologi, suri rumah mengamalkan tabiat setia pada satu-satu kedai atau pasar raya. Tabiat ini perlu dielakkan. Dengan adanya jualan murah di serata tempat, ia dapat menggalakkan anda untuk membuat perbandingan harga. Fkirkanlah sama ada pasar raya yang bakal dikunjungi menawarkan penjimatan yang sangat berbaloi kepada anda.
c) Menyediakan makanan di rumah
Faktor kesuntukan masa, terutama wanita berkerjaya, adalah alasan untuk tidak menyediakan makanan sendiri di rumah. Amalan menyediakan makanan di rumah lebih menjimatkan dan kebersihannya lebih terjamin. Anda boleh mengurangkan kekerapan membeli makanan di bazar-bazar ramadhan. Mungkin tanpa anda sedari, dengan berbelanja di luar, anda telah membayar kos-kos seperti upah tukang masak, pekerja, sewa kedai atau tapak gerai, pengangkutan dan sebagainya, menjadikan makanan tersebut mahal.
d) Kawal penggunaan air dan tenaga
Purata penggunaan air domestik di Malaysia ialah sebanyak 226 liter per kapita sehari menurut satu kajian. Menurut data yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran, purata penggunaan air dalam satu mandian ialah sebanyak 50 liter hingga 100 liter sehari. Pembaziran akan merugikan anda kerana pada akhir bulan anda terpaksa membayar bil yang tinggi. Begitu juga, gunakanlah cahaya matahari untuk menerangi rumah anda dan gunakan lampu kalimantang atau produk yang cekap tenaga.
e) Menilai keperluan, kehendak dan rangsangan
Anda perlu menilai sama ada adakah sesuatu barangan yang ingin dibeli itu benar-benar diperlukannya? Atau jika ia diperlukan, bolehkah pembelian tersebut ditangguhkan? Adakah altenatif yang lebih murah? Bolehkah ia dibuat sendiri? Persoalan-persoalan ini perlu difikirkan sebelum anda membuat keputusan dalam pasaran. Mengikut pengalaman bagi kaum wanita, setelah membeli baju, mereka perlu mendapatkan tudung yang berpadanan, kemudian mendapatkan aksesori seperti kerongsang, rantai, beg tangan yang bersesuaian dengannya. Faktor rakan sebaya juga turut mempengaruhi dalam berbelanja. Seolah-olah anda setaraf dengan rakan tersebut apabila anda berekspresi atau bergaya seperti mereka.
Fikirkanlah, wang sering diperkatakan murah untuk dibelanjakan tetapi sangat susah untuk disimpan. Oleh itu, pilihan di tangan anda. Berbelanjalah secara berhemat untuk kesejahteraan pada masa hadapan.
Siti Rahayu Zakaria Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA)
PERUBAHAN IKLIM JEJASKAN BEKALAN MAKANAN DUNIA | | | |
|
Kita sedang dilanda krisis makanan sedunia yang telah berlaku sebanyak dua kali semenjak 3 tahun yang lepas. Harga makanan dunia mencatatkan rekod tertinggi pada bulan Januari 2011, yang disebabkan oleh peningkatan mendadak dalam harga gandum, jagung, gula dan minyak. Walaupun peningkatan harga ini hanya memberi kesanyang kecil kepada inflasi di Amerika Syarikat, namun ia telah memberi kesan yang teruk kepada golongan miskin yang bergantung kepada makanan-makanan asas ini untuk kehidupan.
Menurut ahli ekonomi, kesan daripada krisis makanan ini adalah di luar jangkaan ekonomi. Kekacauan yang berlaku di negara-negara Asia Barat telah menimbulkan banyak persoalan tentang mengapakah ia berlaku sekarang, dan bukannya tahun-tahun sebelum ini. Ramai pakar ekonomi memberi spekulasi bahawa kenaikan harga makanan mungkin merupakan pencetus kepada kekacauan tersebut. Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan kenaikan harga makanan ini. Namun faktor yang paling ketara ialah keadaan cuaca melampau yang mengganggu pengeluaran pertanian. Di samping itu, cuaca melampau ini dijangka akan meningkat pada masa hadapan dengan peningkatan gas rumah hijau yang dilepaskan ke dalam atmosfera. Ini juga bermaksud bahawa peningkatan harga makanan yang berlaku sekarang mungkin hanya merupakan satu permulaan.
Selain daripada kenaikan harga makanan, banyak harga bahan mentah seperti aluminium dan zink juga sedang meningkat sejak tahun 2009 lagi. Peningkatan ini dipercayai didorong oleh pertumbuhan pesat dalam sektor industri.
Dalam negara-negara sedang membangun seperti China yang mempunyai permintaan daging yang tinggi, juga telah meningkatkan keperluan makanan kepada haiwan ternakan. Selain itu, hasil tanaman dalam sektor agrikultur seperti kapas, juga bersaing untuk menggunakan tanah yang turut diperlukan untuk tanaman makanan. Justeru, pertumbuhan ekonomi serta dasar tenaga yang lemah dan tidak terancang telah memainkan peranan dalam peningkatan harga makanan ini.
Sejak musim panas tahun lepas, cuaca melampau telah melanda hampir keseluruhan benua dunia. Berdsarkan laporan, harga gandum telah naik berlipat-ganda sejak musim panas lepas. Kesan kenaikan harga gandum ini amat jelas dan ia disebabkan oleh pengeluaran dunia yang menjunam mendadak. Musim kemarau dan gelombang panas yang berpanjangan di Moscow telah mencatatkan suhu setinggi 400C dan hampir melumpuhkan pengeluaran gandum di Rusia.
Musim kemarau di Rusia dan Brazil, banjir besar di Australia dan musim sejuk yang melampau di Amerika Syarikat dan China, telah menjejaskan pengeluaran makanan sedunia.
Apakah yang menjadi punca kepada cuaca yang melampau ini?
Jika dilihat daripada sudut kejadian La Niña, yang merupakan satu fenomena cuaca yang biasa. Fenomena ini akan menyebabkan suhu air di kawasan khatulistiwa dan Lautan Pasifik menjadi lebih sejuk. Fenomena ini telah dikaitkan dengan krisis makanan sedunia pada tahun 2007-2008.
Tahun 2005 dan 2010 mencatatkan rekod purata suhu yang tertinggi dalam setahun, walaupun ketika itu sinaran cahaya matahari berdasar pada tahap minimum. Fenomena La Niña sepatutnya menyejukkan suhu Bumi kita. Rekod suhu yang tinggi ini bukan hanya berlaku di Rusia, tetapi di 19 negara yang merangkumi hampir satu perlima daripada kawasan tanah dunia. Kedua-dua musim kemarau dan banjir besar adalah kesan semula jadi daripada dunia yang semakin panas. Kemarau berlaku disebabkan kepanasan yang berpanjangan, manakala banjir pula akibat daripada lautan yang melepaskan lebih banyak wap air.
Kesan perubahan iklim semakin ketara dan boleh berlaku dalam sekelip mata sahaja, dalam keadaan tiada sebarang persiapan dilakukan untuk menghadapinya. Kesannya telah mulai dirasai pada masa ini dari segi kekacauan politik dan kegawatan ekonomi. Sekiranya tindakan gagal dilakukan untuk menurunkan pelepasan gas rumah hijau, maka lebih banyak bencana alam yang teruk akan berlaku.
Foon Weng Lian Forum Air Malaysia
DASAR JAMINAN MAKANAN PERLU DITERUSKAN BAGI ATASI KRISIS BEKALAN MAKANAN | | | |
|
Krisis di Asia Barat dikatakan sebagai punca harga minyak mentah melonjak kepada AS$100 setong. Akibatnya permintaan kepada bio bahan api (biofuel) kian meningkat. Keadaan ini menyebabkan komoditi seperti tebu, yang sebelum ini ditanam untuk menghasilkan gula, kini telah ditukar untuk menghasilkan etanol sebagai bio bahan api.
Begitu juga bencana alam yang berlaku di beberapa buah negara seperti Australia, India, China dan sebagainya, menyebabkan kekurangan bekalan bahan makanan seperti gandum, jagung, bawang dan lain-lain. Akibatnya dunia bakal berhadapan dengan krisis bekalan makanan, sebagaimana yang berlaku pada tahun 2008 dahulu.
Pertubuhan Makanan dan Pertanian, PBB (FAO) turut mengakui hakikat ini apabila mengatakan paras harga makanan telah mencapai paras tertinggi pada bulan Disember 2010. Ini berdasarkan kepada indeks harga makanan FAO bagi bakul makanan telah mencecah 214.7 pada bulan Disember 2010, berbanding 213.5 ketika krisis makanan memuncak pada bulan Jun 2008. Kini krisis harga makanan mulai melanda negara apabila harga bahan makanan mulai meningkat. Walaupun harganya masih pada paras yang terkawal, tetapi jika tiada langkah konkrit yang dilakukan, harga bahan makanan ini akan terus naik.
Sebahagian besar daripada bahan makanan untuk keperluan negara adalah diimport. Bil import bahan makanan negara pada 2009 adalah 26.7 bilion. Ini menyebabkan sebarang keadaan yang berlaku di peringkat global akan memberi kesan kepada bekalan makanan negara. Krisis makanan pada tahun 2008 perlu dijadikan sebagai pengajaran apabila negara menghadapi masalah kekurangan bekalan beras yang meruncing.
Rentetan daripada krisis makanan 2008, kerajaan telah mewujudkan Dasar Jaminan Bekalan Makanan 2008-2010, dengan jumlah peruntukan sebanyak RM3 bilion (walaupun dalam perbentangan bajet 2009, kerajaan mengumumkan peruntukan sebanyak RM5.6 bilion untuk dasar jaminan makanan negara). Dasar ini bertujuan untuk meningkatkan pengeluaran bahan pertanian untuk makanan, khususnya pengeluaran beras. Selain itu, kerajaan juga bercadang untuk meningkatkan pengeluaran beras negara sehingga mencapai tahap kecukupan diri (self-sufficiency) dengan menjadikan Sarawak sebagai Jelapang Padi yang kesembilan.
Dengan wujudnya kebimbangan mengenai krisis makanan yang bakal berlaku pada tahun 2011, maka kerajaan perlu meneruskan Dasar Jaminan Makanan ini. Sewajarnya kerajaan mempunyai pelan strategik jangka panjang berkaitan Dasar Jaminan Bekalan Makanan. Dasar ini bukan sahaja tertakluk kepada beras sahaja, tetapi juga makanan lain yang menjadi keperluan harian rakyat. Sebagai contoh gandum yang menjadi makanan ruji harian, sedangkan bahan mentah ini diimport sepenuhnya. Kajian perlu dilakukan bagi mendapatkan bahan alternatif bagi menggantikan gandum, yang boleh ditanam di negara ini, seperti tepung beras atau tepung ubi.
Dalam pada itu, bagi memastikan bekalan bahan makanan yang diimport sentiasa mencukupi, kerajaan juga perlu mewujudkan stok penimbal yang mencukupi untuk tempoh 3 bulan hingga 6 bulan. Keadaan semasa di negara pembekal utama bahan makanan ini sentiasa dipantau bagi memastikan keadaan di negara tersebut tidak menjejaskan bekalan bahan makanan. Jika ini berlaku, maka usaha perlu dilakukan untuk mendapatkan bekalan daripada negara lain yang tidak terjejas.
Para pengguna juga perlu memainkan peranan dalam menghadapi krisis makanan ini. Mereka perlu mengamalkan tanaman sayur-sayuran di halaman rumah untuk keperluan sendiri. Ini bukan sahaja dapat mengurangkan perbelanjaan harian, tetapi juga membolehkan mereka menikmati sayur-sayuran yang segar dan tidak dicemari dengan racun makhluk perosak.
Mohd Yusof Abdul Rahman Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA)
PERATURAN LABEL PEMAKANAN TIDAK BERKESAN? | | | |
|
Label pemakanan yang terdapat pada makanan segera tidak akan menghentikan tabiat pemakanan yang tidak sihat. Melabelkan fakta pemakanan pada bungkusan burger, kentang goreng dan produk lain yang mengandungi lemak tinggi, tidak menunjukkan sebarang perbezaan dalam pemilihan restoran yang ingin dikunjungi.
Walaupun peraturan mewajibkan pelabelan mandatori ini, tetapi kajian yang dijalankan selama 13 bulan menunjukkan cita rasa pengguna masih tetap sama, iaitu menggemari makanan yang berkalori tinggi.
Profesor Eric Finkelstein dari Duke-National, University of Singapore berkata, hasil kajian yang dilakukannya menunjukkan tiada sebarang perubahan dalam corak pembelanjaan yang dapat dikesan, walaupun peraturan telah dilaksanakan. Pelabelan wajib ini tidak akan dapat untuk mempengaruhi gejala obesiti. Namun jika ia digabungkan dengan langkah-langkah lain, maka ia dapat mengurangkan kes kegemukan.
Sebanyak 15 restoran telah mengambil bahagian dalam projek obesiti yang dilakukan di Washington.
Restoran makanan segera hendaklah mendedahkan maklumat kalori bagi setiap makanan yang dijual. Beberapa syarikat makanan segera di England, termasuk McDonald’s, mencetak fakta tentang kalori, lemak, garam dan kandungan karbohidrat makanan untuk membantu orang ramai membuat pilihan yang sihat.
Walaupun begitu, menurut American Journal for Preventive Medicine, penjualan dan purata kalori per transaksi tidak berubah dengan pelaksanaan pelabelan mandatori itu.
Ini mungkin disebabkan oleh maklumat pemakanan yang terperinci ini bukan cara terbaik untuk menyampaikan isu kesihatan tentang makanan segera dengan berkesan.
Sebagai contoh, jika anda mengetahui restoran yang menawarkan minuman soda diet yang biasa, tetapi adakah maklumat kalori dalam minuman soda diet ini berguna. Golongan yang memerlukan minuman kalori rendah pasti inginkan minuman soda diet ini.
Sebelum peraturan ini dikuatkuasakan, sesetengah restoran telah mengenal pasti logo kesihatan yang akan diletakkan pada menu makanan.
Logo yang ringkas ini menunjukkan jenis makanan yang lebih sihat. Maklumat ini hanya berguna bagi mereka yang ingin memilih makanan yang lebih sihat, tetapi tidak menyumbang kepada usaha untuk menangani isu obesiti.
Prof Finkelstein menyatakan bahawa walaupun panel fakta pemakanan diwajibkan untuk semua makanan dibungkus, tetapi kadar obesiti masih meningkat di Amerika Syarikat.
Kajian lebih lanjut perlu dilakukan untuk menentukan punca dan maklumat yang dapat memupuk pengguna untuk mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat.
Di Malaysia, Peraturan-Peraturan Makanan mewartakan bahawa semua makanan dibungkus perlu mempunyai panel fakta pemakanan. Kebanyakan makanan dibungkus mempunyai panel fakta pemakanan, tetapi ada juga makanan dibungkus yang dikeluarkan oleh industri kecil dan sederhana yang tidak mempunyai sebarang panel fakta pemakanan.
Masalah ini perlu ditangani agar pengguna dapat menikmati makanan yang sihat untuk tubuh mereka. Jika maklumat pada panel tidak dibekalkan, jenis khasiat makanan yang diambil tidak akan diketahui.
Walaupun kajian terhadap peraturan pada panel fakta pemakanan di Amerika Syarikat tidak menunjukkan keputusan yang menggalakkan, tetapi Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia tetap yakin bahawa maklumat yang dicetak itu dapat memberi panduan pada pengguna agar bersikap berhati-hati terhadap makanan yang mereka ambil.
Pengguna digalakkan untuk meneliti panel fakta pemakanan sebelum membeli suatu produk makanan. Elakkan produk yang tidak mempunyai sebarang label.
Sam Wong Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia |
KRISIS MAKANAN BERLAKU LAGI PADA 2011? | | | |
|
Menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO), sebuah agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, krisis makanan sekali lagi akan menyelubungi dunia pada tahun 2011. Berdasarkan laporan FAO, harga tanaman bagi makanan utama akan meningkat sebagaimana yang berlaku pada tahun 2008.
Bil import makanan global dijangkakan melonjak kepada AS$1 bilion (RM 3.13bilion). Sementara peningkatan harga komoditi berlaku secara mendadak buat kali kedua (yang pertama berlaku pada tahun 2008). Peningkatan ini juga dikatakan berlaku lebih pantas berbanding pada tahun 2007 dan 2008. FAO menegaskan, masyarakat antarabangsa sedang berusaha dengan gigih untuk mempersiapkan langkah-langkah bagi menangani krisis peningkatan pengeluaran tanaman makanan utama secara signifikan pada 2011. Badan ini meramalkan bahawa bil import makanan bagi dunia "negara termiskin" akan naik 11 peratus pada 2010, sementara untuk negara-negara pengeluar makanan akan naik sebanyak 20 peratus. Ini bermakna, dengan melewatkan satu trilion dolar, bil import makanan global kemungkinan akan naik ke tahap yang tidak diduga sejak harga makanan mencapai kemuncaknya pada tahap rekod pada 2008. John Stephenson, penulis buku Pelaburan Komoditi juga bersetuju inflasi makanan akan menjadi isu utama pada tahun 2011. Menurut beliau, perubahan diet makanan dengan pertambahan penduduk dunia serta penurunan stok bijirin global dalam 15 tahun terakhir akan meningkatkan harga gandum, jagung dan kacang soya.
Kenaikan harga makanan global turut disokong oleh pakar ekonomi dari RAM Holding Berhad. Pakar ekonomi tidak dapat memastikan sama ada peningkatan ini akan kekal atau bersifat sementara. Namun situasi ini akan menjadi lebih baik jika permintaan untuk harga makanan bergerak secara normal di negara-negara membangun. Harga yang tinggi di negara Barat telah mendorong wujudnya spekulasi harga makanan di negara ini turut akan menjadi mahal. Malaysia adalah pengimport makanan bersih dengan jumlah import sebanyak RM15.8 billion pada tahun 2009. Kenaikan harga makanan global turut memberi kesan terhadap ekonomi tempatan. Apatah lagi hakikatnya jenis barangan keperluan yang dikawal oleh kerajaan sangat minimum.
Sebagai pengguna, pembelian panik seharusnya tidak berlaku disebabkan khabar angin yang menyatakan minyak masak akan naik sebelum sambutan Tahun Baru Cina. Pemerhatian yang dilakukan kawasan Batu Caves, Sentul dan Batu Muda, minyak kampit 1 kilogram sudah tidak dijual hampir satu bulan. Minyak sawit dan minyak kacang yang dipek secara botol juga sukar diperolehi. Walau bagaimanapun, minyak Cap Bunga Matahari (jenama mahal) lagi masih dijual. Hakikatnya, kerajaan tidak boleh mengawal harga pasaran sekiranya harga minyak dunia meningkat disebabkan pengeluar utama dunia juga mengalami masalah yang sangat meruncing.
Oleh itu, pengguna disarankan mengubah gaya hidup dan cara pemakanan yang lebih sihat dengan mengambil makanan kurang minyak. Pengambilan makanan berminyak boleh membebankan fungsi hati yang antara lain berfungsi sebagai detoksifikasi dan mengurangkan nutrien seperti vitamin dan mineral dalam tubuh. Badan akan mudah terdedah kepada penyakit akibat daripada proses detoksifikasi yang berkurangan ini.
Mengubah gaya hidup adalah cara terbaik bagi menjamin kehidupan yang lebih sihat. Menuding jari ke arah orang lain tidak mampu mengubah sesuatu yang berlaku. Oleh itu, mari bersama-sama kita mengamalkan prinsip “ PERUBAHAN BERMULA DENGAN SAYA” Siti Rahayu Zakaria
FOMCA |
G20 PERLU BEKERJASAMA BANTU STABILKAN HARGA MAKANAN DUNIA | | | |
|
Kumpulan 20 atau G20 ditubuhkan untuk menangani krisis kewangan pada akhiran 1990. Ia terdiri daripada menteri kewangan daripada negara-negara berikut:
• Argentina • Australia • Brazil • Kanada • China • Perancis • Jerman • India • Indonesia • Itali • Jepun • Mexico • Rusia • Arab Saudi • Afrika Selatan • Korea Selatan • Turki • Great Britain • Amerika Syarikat
G20 merupakan forum antarabangsa yang bertujuan untuk menggalakkan perbincangan terbuka tenang kestabilan ekonomi sedunia.
Bank Dunia menyatakan bahawa G20 yang merupakan badan ekonomi utama dunia ini perlu bertindak secara pratikal untuk menolong berjuta-juta penduduk dunia ini daripada penderitaan. Tanpa tindakan daripada pemimpin dunia, penduduk di Negara miskin ini akan terus menderita daripada kekurangan makanan yang berzat akibat kenaikan harga makanan.
Data yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Makanan dan Pertanian, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menunjukkan indeks harga makanan pada masa ini telah melebihi indeks pada tahun 2008 semasa krisis makanan sedang memuncak.
Presiden Bank Dunia, Robert B. Zoellick menyatakan bahawa makanan merupakan bahagian yang besar dalam perbelanjaan sesebuah keluarga yang miskin di sebuah negara miskin. Jadi, peningkatan harga makanan merupakan ancaman kepada pembangunan sedunia dan kestabilan sosial.
Bagi memastikan golongan miskin ini ini dinafikan hak mereka untuk mendapatkan makanan berzat, maka G20 boleh membantu untuk mencapai tujuan ini jika semua ahli G20 mengambil langkah pratikal dan saling berkaitan.
Sam Wong Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia
PBB: HARGA MAKANAN SEDUNIA MENCAPAI REKOD TERTINGGI | | | |
|
Mengikut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, kekurangan bekalan makanan mulai berlaku sehingga menyebabkan rusuhan di negara-negara tertentu. Ini menyebabkan harga makanan di dunia telah melampaui harga tertinggi yang pernah dicatat pada tahun 2008.
Pertubuhan Makanan dan Pertanian (Food and Agriculture Organization, FAO) menyatakan bahawa indeks harga makanan FAO telah mencatatkan rekod tertinggi yang baru.
Dalam tempoh enam bulan berturut-turut, peningkatan dalam harga gula, bijirin dan minyak, indeks harga makanan adalah tertinggi sejak indeks ini dicipta pada tahun 1990. Indeks harga makanan mencatat 213.5 pada tahun 2008 semasa krisis makanan 2007/08. Indeks harga makanan ini diukur setiap bulan berdasarkan bakul makanan yang mengandungi bijirin, bijih, bahan tenusu, daging dan gula. Ia meningkat dari 206.0 pada November sehingga 214.7 pada Disember. Kenaikan harga makanan ini merupakan bebanan kepada negara miskin dan kurang membangun.
Sam Wong Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia |
JAUHI MINUMAN RINGAN DAN BANYAK MINUM AIR BIASA UNTUK KESIHATAN | | | |
|
Air merupakan keperluan asas kepada manusia. Secara purata, badan manusia meliputi antara 60% hingga 65% air, manakala tisu-tisu dalam otak manusia pula mengandungi 85% air. Badan manusia boleh bertahan sehingga empat minggu tanpa makanan tetapi hanya boleh hidup tiga hari sekiranya tidak minum air. Air minuman boleh didapati pada kadar yang murah dan muda didapati di dalam negara. Namun, masih ramai yang memilih untuk minum minuman soda yang berlebihan dalam kehidupan harian.
Air adalah penting sebagai pengangkutan nutrien, hormon, toksin dan hasil kumbahan dalam sistem badan. Tenaga seharian bergantung kepada air dan kekurangan air adalah penyebab utama kepada keletihan pada siang hari. Badan memerlukan sekurang-kurangnya 2 liter air sehari bagi memastikan sistem badan berfungsi dalam keadaan yang optimum. Selain itu, air juga merupakan pembantu diet, pengurang lemak badan dan juga mengurangkan pengumpulan sodium dalam badan. Minum air yang mencukupi dapat membantu mengubati alergi, asma, kemurungan, tekanan darah tinggi, diabetes, sakit kepala dan keletihan. Di samping itu, lapan hingga sepuluh gelas air sehari akan dapat mengurangkan sakit belakang dan sakit sendi.
Menurut kajian, kebanyakan rakyat di Malaysia tidak meminum air yang mencukupi sehingga mereka mengalami dehidrasi. Hanya sebanyak 2 peratus penurunan air dalam badan mencukupi untuk menyebabkan kehilangan ingatan jangka pendek, masalah untuk matematik asas dan tidak dapat menumpukan perhatian. Menurut kajian yang telah dijalankan, minum 5 gelas air sehari dapat mengurangkan kadar kanser kolon sebanyak 45%, kanser payu dara sebanyak 79% dan kanser pundi kencing sebanyak 50%.
Secara purata di Malaysia, pernah dilaporkan bahawa sebanyak 1000 tin minuman ringan diminum pada setiap minit. Dalam masa sepuluh tahun sahaja, keperluan minuman ringan dalam golongan remaja dan kanak-kanak telah meningkat dua kali ganda. Bahan aktif dalam minuman ringan adalah asid fosforik yang mengganggu penyerapan kalsium dan menyebabkan kereputan gigi dan tulang. Disebabkan itu, tulang-tulang akan menjadi semakin rapuh dan mudah retak ataupun patah.
Gula merupakan isu utama dalam minuman ringan. Satu tin minuman ringan mengandungi 10 sudu gula dan 150 kalori. Selain itu, gula juga meningkat tahap insulin yang boleh menyebabkan tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi, penyakit jantung, kegemukan, diabetes dan pelbagai kesan buruk yang lain. Syarikat-syarikat minuman ringan ini juga menggunakan gula buatan seperti Aspartame sebagai pengganti kepada gula. Terdapat 92 jenis kesan-kesan buruk yang disebabkan oleh penggunaan aspartmane, seperti kanser otak, diabetes, kecacatan, epilepsi dan kemurungan.
Selain kandungan gula yang tinggi dalam minuman ringan, kandungan kafein juga adalah setinggi 30mg hingga 55mg dalam satu tin. Kafein yang berlebihan berpotensi menyebabkan insomia, tekanan darah tinggi, denyutan jantung yang tidak selaras, kolesterol dalam darah yang tinggi, kehilangan vitamin dan mineral dalam badan dan pelbagai jenis kanser. Di samping itu, minuman ringan juga mengandungi banyak perisa dan pewarna yang tidak memberi manfaat kepada tubuh badan.
Secara kesimpulan, minuman ringan adalah sebab kepada banyak jenis penyakit. Minum minuman ringan juga menghilangkan selera untuk makan sayur-sayuran, protein dan makanan lain yang diperlukan oleh badan.
Oleh itu minumlah air minuman biasa dan bersih untuk kesihatan anda!
Foon Weng Lian Forum Air Malaysia |
Isu air: SPRM minta k'jaan Kedah buat laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta kerajaan Kedah atau mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai apa yang didakwa sebagai penyelewengan berhubung isu air di negeri itu supaya membuat laporan.
Pengarah SPRM Kedah Datuk Idrus Jaafar berkata tanpa maklumat lengkap pihaknya tidak boleh menjalankan siasatan kerana kenyataan Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak mengenai perkara itu menerusi media adalah terlalu umum.
Katanya, SPRM tetap akan melakukan tindakan susulan berikutan kenyataan menerusi media itu tetapi ia memerlukan maklumat khusus untuk memudahkan tindakan.
"Sumber maklumat kita macam-macam termasuk menerusi media tetapi kalau ada laporan lebih mudah. Mengenai isu itu, belum ada apa-apa maklumat rasmi daripada mana-mana pihak," katanya kepada pemberita di Alor Star hari ini.
Semalam Azizan berkata pihaknya telah mengenal pasti banyak penyelewengan yang berlaku semasa pemerintahan BN membabitkan isu air dan setiap dakwaan adalah berasaskan fakta serta rekod dan beliau menyerahkan kepada SPRM untuk menyiasatnya.
Azizan juga bukan tugasnya untuk membuat laporan kepada SPRM sebaliknya sesiapa sahaja boleh berbuat demikian kerana beliau telah membuat pendedahan mengenai penyelewengan itu.
Sebelum itu, Setiausaha Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Nawawi Ahmad berkata BN Kedah tidak takut dengan ugutan Azizan untuk mendedahkan apa yang didakwanya sebagai penyelewengan berhubung isu air semasa BN memerintah Kedah sebelum ini dan meminta Azizan membuat laporan dengan SPRM.
Idrus berkata beliau percaya jika ada pendedahan dibuat, pihak-pihak berkaitan sudah pasti mempunyai maklumat lengkap untuk bekerjasama dengan SPRM.
Katanya maklumat lengkap diperlukan kerana dalam sesuatu perkara itu mungkin ada berlaku kesalahan tetapi jika kesalahan itu bukan berkaitan rasuah ia bukan di bawah SPRM.
"Kalau kesalahan itu bukan di bawah bidang kuasa kita, ia terpaksa dijalankan oleh pihak berkuasa yang lain," katanya.
- Bernama
ALAT PERMAINAN PERCUMA DILARANG DALAM MAKANAN SEGERA DI SAN FANCISCO | | | |
|
Satu peraturan baru telah diwartakan di San Francisco, yang menjadikan ia sebagai bandar pertama di Amerika Syarikat yang menghalang pemberian alat mainan percuma melalui makanan segera yang dihidang kepada kanak-kanak.
Peraturan baru ini telah diluluskan dalam ordinan dengan undian 8-3. Peraturan diwujudkan akibat dariapda kebimbangan tentang kadar obesiti kepada kanak-kanak. Ia akan dikuatkuasakan pada 1 Disember 2011.
Menurut peraturan tersebut, restoran yang ingin membekalkan makanan kanak-kanak dengan alat mainan percuma perlu mematuhi standard pemakanan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa San Franscisco. Pembangkang kepada peraturan ini adalah Persatuan Restoran Kebangsaan (National Restaurant Association) dan McDonald’s Corp, yang menggunakan alat mainan sebagai pelaris untuk memasarkan Happy Meal kepada kanak-kanak.
Peraturan San Francisco ini menghalang alat mainan diberikan secara percuma kepada kanak-kanak dengan makanan, melainkan makanan yang dihidang itu mengandungi kalori yang kurang daripada 600 unit, buah-buahan dan sayur-sayuran, serta mempunyai minuman yang tidak mengandungi gula atau lemak yang berlebih-lebihan.
Penyokong kepada peraturan menunjukkan bahawa tujuan pelaksanaan peraturan ini adalah untuk mempromosikan corak makan yang sihat bagi menentang obesity kanak-kanak.
Michael Jacobson, Pengarah Eksekutif bagi Pusat Sains bagi Kepentingan Awam (Center for Science in the Public Interest) menyatakan bahawa syarikat makanan segera perlu berhenti mengeksploitasikan kanak-kanak hanya untuk pasaran yang lebih luas. Manakala, pendekatan ini menggariskan satu standard asas pemakanan bagi makanan yang dijual dengan alat mainan percuma.
Berdasarkan Pusat Pengawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (U.S Center for Disease Control and Prevention), 55% daripada kanak-kanak di Amerika mengalami berat badan yang berlebihan atau kegemukan – yang menambahkan risiko bagi penyakit jantung, kencing manis dan kanser. Malah ada kadar obesiti kanak-kanak yang melebihi 30% di sesetengah negeri.
Pusat Sains bagi Kepentingan Awam telah memberi amaran kepada McDonald’s bahawa mereka akan didakwa jika mereka tidak memberhentikan pemberian alat mainan Happy Meal untuk menarik perhatian kanak-kanak ke restoran mereka.
Di Malaysia, berdasarkan statistik daripada Kementerian Kesihatan Malaysia, 60% rakyat adalah terlalu berat atau gemuk, dan yang lebih membimbangkan lagi, kanak-kanak yang gemuk juga meningkat secara mendadak.
Kegemukan atau obesiti akan mencetuskan pelbagai penyakit. Bagi mengelakkannya, amalkan corak kehidupan yang sihat – bersenaman dan mengambil diet seimbang.
Kesimpulannya, menghentikan tabiat mengambil makanan segera boleh mengurangkan kadar kegemukan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Sam Wong Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia |
SARAPAN AMAT PENTING UNTUK KESIHATAN | | | |
|
Kepentingan sarapan telah dinafikan semenjak zaman dahulu. Namun kini kepentingannya telah dibuktikan dari segi sains kesihatan.
Satu kajian yang dilakukan mendapati bahawa mengelakkan sarapan pada awal pagi ini akan meningkatkan risiko obesiti, mengumpul lemak yang besar di sekitar pinggang, membentuk penyakit diabetis dan tahap kolestrol yang tinggi. Selain itu, ia juga akan meningkatkan risiko penyakit jantung.
Kaitan penyakit ini dengan kegagalan mengambil sarapan disebabkan oleh fakta bahawa bahawa tabiat ini akan menyumbang kepada ‘snacking’ iaitu pengambilan makanan ringan. Makanan ringan mengandungi gula dan kalori yang tinggi untuk mengisi perut dan membekalkan tenaga.
Kajian yang dilakukan ke atas 2,184 rakyat Australia pada tahun 1985, mendapati kanak-kanak dan orang dewasa yang tidak mengambil sarapan mempunyai ukuran pinggang yang lebih besar, tahap kolestrol yang tinggi dan tahap insulin yang tinggi, yang merupakan simptom penyakit diabetis. Selain itu, golongan ini mempunyai gaya hidup yang tidak sihat.
Satu lagi kajian yang dilakukan sebelum ini menunjukkan pengambilan sarapan adalah baik untuk kesihatan jantung dan kesihatan secara keseluruhan.
Makanan yang seimbang dan tetap adalah langkah pertama untuk mengekalkan kesihatan seseorang. Oleh itu seseorang digalakkan supaya mengambil sarapan, makan tengah hari dan makan malam pada masa yang tetap. Selain itu, elakkan daripada makan pada lewat malam.
Sam Wong Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia
22 NEGARA HADAPI MASALAH KEKURANGAN MAKANAN | | | |
|
Agensi Makanan dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan bahawa 166 juta orang di 22 buah negara di dunia ini menghadapi kebuluran atau kesukaran untuk mendapatkan makanan yang mencukupi.
Peperangan, bencana alam dan pengurusan yang lembap telah menyebabkan kekurangan makanan dan zat yang berterusan di negara-negara tersebut, termasuk Afghanistan, Haiti, Iraq, Somalia dan Sudan.
Negara yang melaporkan krisis makanan sekurang-kurangnya lapan tahun dan menerima sebanyak sepuluh peratus bantuan daripada negara asing akan dianggap menghadapi kekurangan makanan yang berterusan.
Laporan juga menyatakan bahawa krisis yang berterusan ini merupakan satu kemusnahan yang kekal. Di samping itu, pemulihan akan menjadi semakin sukar dari masa ke masa. Di antara 22 negara ini, penduduk yang mengalami kekurangan zat makanan adalah tiga kali lebih tinggi daripada negara-negara membangun.
Menurut Pegawai PBB, 1,800 kalori per sehari dianggap sebagai pengambilan tenaga minimum untuk sehari. Sesesiapa yang tidak dapat memenuhi keperluan ini akan dianggap kekurangan zat atau menghadapi kelaparan ‘kronik’.
Negara-negara yang berhadapan dengan krisis yang berterusan ini memerlukan bantuan bagi menghadapi masalah ini. Fokusnya tidak hanya pada bantuan kecemasan tetapi juga pada bantuan jangka masa panjang, seperti menyediakan makanan untuk sesi persekolahan atau melaksanakan program makanan-untuk-pekerjaan.
Selain itu, laporan kajian menyatakan bahawa rangsangan pasaran juga merupakan pertolongan jangka panjang yang berkesan, misalnya melalui pembelian makanan atau bahan keperluan daripada pembekal tempatan.
Pada masa ini, sebahagian besar bantuan untuk negara-negara ini dalam bentuk bantuan kemanusiaan sahaja. Sebagai contoh, di Somalia, bantuan kemanusian sebanyak 64 peratus.
Namum, secara globalnya, hanya sekitar 10 peratus daripada bantuan kepada negara-negara yang terancam ini termasuk ke dalam bantuan kemanusiaan secara langsung, dan biasanya bertujuan untuk meningkatkan produktif per kapasiti.
Dalam kenyataan yang dibuat oleh Jacques Diouf, pengarah Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) dan Josette Sheeran, pengarah Program Makanan Sedunia (World Food Program, WFP), mereka berpendapat bahawa adalah penting untuk memberikan bantuan kepada negara yang menghadapi krisis makanan secra berterusan. Ia dapat menyelamatkan nyawa dan juga menolong negara tersebut untuk membaik pulih kepada keadaan yang lebih baik.
Negara lain yang turut mengalami krisis makanan adalah: Angola, Burundi, Republik Afrika Tengah, Chad, Congo, Korea Utara, Republik Demokratik Congo, Eritrea, Ethiopia, Guinea, Pantai Gading, Kenya, Liberia, Sierra Leone, Tajikistan, Uganda dan Zimbabwe .
FAO mengatakan pada bulan September 2010, jumlah orang yang mengalami kebuluran di seluruh dunia telah menurun daripada 1 bilion kepada 925 juta orang.
Di Malaysia, kita jarang mengalami kes kebuluran, tetapi yang sering kita dapati adalah orang yang membazirkan makanan.
Makanan merupakan sebahagian keperluan asas yang perlu dinikmati setiap pengguna, tetapi ramai orang di dunia ini tiada peluang untuk mendapatkan hak ini.
Kesimpulannya, hargai makanan anda, habiskan setiap makanan.
Sam Wong Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia
MINUMAN 3 DALAM 1 YANG TIDAK TERKAWAL MEMUDARATKAN KESIHATAN | | | |
|
Orang ramai perlu berhati-hati apabila mengambil minuman 3 dalam 1. Pengambilan minuman ini yang berlebihan akan membawa kesan negatif kepada kesihatan.
Dr Roslee Rajikan, Pensyarah Jabatan Pemakanan dan Dietetik, Universiti Kebangsaan Malaysia menyatakan bahawa apabila minuman 3 dalam 1 dibancuh, pengguna tidak dapat mengawal kandungan gula dalam pek minuman 3 dalam 1 itu jika dibanding dengan cara pembancuhan tradisional.
Ini adalah kerana kandungan gula dalam minuman 3 dalam 1 telahpun ditetapkan, dan biasanya mengandungi peratusan gula yang tinggi. Jika minuman 3 dalam 1 ini diambil sekali sekala, ia tidak menimbulkan masalah. Tetapi, jika diambil 5 – 6 kali sehari, masalah berkaitan dengan kesihatan akan timbul.
Kebelakangan ini, pelbagai kempen kesedaran pengurangan gula telah diadakan oleh sektor kerajaan dan sektor swasta. Namun pendidikan pengguna tentang pengurangan gula masih merupakan tugas yang sukar dilaksanakan.
Walau bagaimanapun, golongan yang sedar akan kebaikan pengambilan gula yang kurang kepada kesihatan telah berubah kepada corak kehidupan yang lebih sihat.
Sebelum ini, tidak ada orang akan memesan teh tarik kurang manis atau teh ’O’ kosong, tetapi pada masa sekarang, ramai yang menjadikan hal ini satu perkara yang biasa.
Dr Roslee menyarankan ibu bapa atau keluarga yang mempunyai sejarah penyakit kencing manis supaya mengawal pengambilan gula dan mengamalkan gaya kehidupan yang sihat, bagi mengurangkan risiko penyakit tersebut.
Elakkan pengambilan minuman 3 dalam 1 atau mengurangkan kekerapan minuman ini merupakan satu cara yang boleh dicapai untuk mengurangkan pengambilan kandungan gula.
Kesimpulannya, kita boleh mengubah corak kehidupan ke arah kurang gula untuk kehidupan yang sihat demi mengurangkan risiko kepada penyakit kencing manis.
Sam Wong Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia |
MENCEGAH MENGAUT KEUNTUNGAN BERLEBIHAN (PROFITEERING) SEMASA MUSIM PERAYAAN | | | |
|
Pada setiap musim perayaan, pengguna seringkali menghadapi kenaikan harga bagi makanan keperluan seperti ayam. Pada minggu pertama bulan Puasa tahun ini, harga ayam meningkat dari harga RM 5.50 satu kilo (ayam standard) kepada harga RM 7.00 – RM 7.50 satu kilo. Di beberapa tempat harga pernah sampai sehingga RM 9.00 satu kilo.
Kenaikan harga ayam dihadapi bukan sahaja di Lembah Kelang tetapi di seluruh negara. Harga ayam di Batu Gajah, Perak dilaporkan RM 7.50 se kilo, di Bahau, Negeri Sembilan harga adalah RM 7.00 se kilo dan di Kg. Koh, Sitiawan dilaporkan harga RM 7.50 se kilo.
Persekutuan Persatuan-persatuan Penternak Malaysia (FLFAM), melaporkan bahawa terdapat tiga faktor kenapa harga ayam naik pada musim perayaan tahun ini iaitu cuaca panas yang berpanjangan yang menyebabkan kesakitan pada ayam, pengharaman penjualan bijiran oleh Rusia yang menyebabkan harga makanan ayam meningkat dan faktor-faktor peningkatan permintaan. Walau pun kita mengambil kira faktor-faktor tersebut, harga ayam masih boleh dianggap ssebagai dijual pada paras yang terlalu tinggi. Jelaslah bahawa pihak-pihak tertentu mengaut keuntungan yang berlebihan dalam musim perayaan ini.
Amalan profiteering pada tahun ini bukan satu yang baru. Pada setiap tahun pada musim perayaan penjual akan mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan yang berlebihan dan dengan itu pengguna, khususnys pengguna berpendapatan rendah akan menghadapi kesusahan.
Menurut FLFAM pada setiap hari sejumlah 1.4 – 1.5 juta ayam dijual kepada pengguna.
Siapakah pihak yang mencari keuntungan yang berlebihan? Adakah amalan ini berlaku di peringkat penternak, di peringkat pemborong atau di peringkat peruncit? Jelaslah tidak ada satu pihak pun yang sanggup mengakui merekalah pihak yang mengambil kesempatan pada musim perayaan dan seterusnya menyalahkan pihak yang lain.
Yang lebih penting bagi kita sebagai pengguna ialah apakah harus dibuat oleh pihak berkuasa dan penggua sendiri untuk memastikan pihak tertentu tidak mengambil kesempatan semasa perayaan.
FOMCA mencadangkan beberapa tindakan pencegahan pada musim-musim perayaan akan datang: - FAMA harus campur tangan terus dalam pasaran pada musim perayaan. Pada musim perayaan FAMA harus membeli ayam terus daripada penternak dan jual kepada peruncit dengan mentapkan harga jualan. Oleh kerana merekalah pembekal ayam dan mengetahui harga yang sebenarnya, mereka boleh menetapkan margin keuntungan dan seterusnya harga jualan ayam.
- FLFAM atau penternak ayam diberikuasa dan peluang untuk menjual terus kepada pengguna pada masa perayaan.
- Kerajaan mengumumkan harga ceiling pada musim perayaan dan menguatkuasakan harga tersebut.
- Sebagai tindakan jangka penjang kerajaan harus memastikan bahawa pada setiap peringkat rangkaian bekalan makanan (food supply chain) terdapat persaingan yang terbuka. Dalam rangkaian makanan tersebut tidak harus ada sebarang kesepakatan dalam pasaran atau pihak tertentu yang dapat kebaikan melalui perlesenan atau AP atau mengamalkan amalan jualan yang tidak etika. Amalan –amalan negatif ini akan membolehkan pihak tertentu untuk manipulasi harga dalam pasaran. Persaingan terbuka akan menentukan bahawa pengguna akan dapat harga dan kualiti yang terbaik.
Sebagai langkah jangka panjang, FAMA harus memperbanyakkan dan memperkukuhkan system Pasar Tani seluruh negara, Ini akan membolehkan petani dan penternak untuk menjual hasil mereka terus kepada pengguna. Dalam Pasar Tani kedua-dua petani dan pengguna untung kerana dua-dua dapat harga yang terbaik.
Kerajaan harus juga melabor dalam pertanian untuk mengurangkan impot makanan dan menjamin keselamatan makanan pada jangka panjang. Pengguna juga harus sanggup membayar lebih untuk makanan untuk memastikan industri makanan di Malaysia akan menjadi satu yang viable dan mampan.
Pengguna harus sedar bahawa bukan sahaja harga makanan adalah penting, keselamatan makanan (food security) juga harus diberi keutamaan.
Dato' Paul Selvaraj CEO FOMCA |
LABEL PADA PEMBUNGKUSAN MAKANAN MENGELIRUKAN PENGGUNA | | | |
|
Badan pembela pengguna Britain, Which? menyatakan bahawa pelabelan makanan yang mendakwa sebagai ‘tulen’, ‘segar’, ‘semula jadi’ dan ‘benar’ adalah di luar kawalan dan memang mengelirukan pengguna.
Kajian yang dilakukan oleh Which? mendapati 33 peratus pengguna berpendapat bahawa produk yang dilabel ‘buah sebenar’ mengandungi buah sebagai bahan utama dalam produk itu.
Manakala, 43 peratus mempercayai bahawa produk yang dilabel ‘minuman jus’ mengandungi sekurang-kurangnya 25% jus buah-buahan.
Kajian ini menunjukkan bahawa pengguna tidak dapat membezakan istilah yang digunakan pada pelabelan makanan. Pengguna hanya memilih berdasarkan perkataan asas dalam pelabelan seperti buah atau jus, tetapi mengabaikan maksud di sebaliknya. Istilah ‘jus buah-buahan’ dan ‘jus daripada konsentrat buah-buahan’ adalah tertakluk dalam Undang-undang Pertubuhan Eropah, tetapi ‘minuman jus’ tidak terdapat dalam undang-undang.
Keadaan inilah yang menyebabkan Rubicon Sparkling Passion boleh menggunakan perkataan ‘jus sebenar’ dan ‘minuman jus’ pada pelabelan mereka, meskipun produk mereka hanya mengandungi 5 peratus jus daripada konsentrat buah-buahan. 5 peratus ini bukannya buah-buahan yang sebenar.
Pelabelan pada botol ini menyatakan ia mengandungi buah-buahan segar dan air bawah tanah yang memanfaatkan kesihatan; tetapi Which? menunjukkan bahawa mereka tidak melabelkan kandungan gula yang setinggi 22g per pek.
Which? mendapati pengguna sering keliru tentang istilah rasa dan berperisa, seperti yogurt rasa strawberi yang sebenarnya tidak mengandungi buah strawberi.
Jabatan Alam Sekitar, Makanan dan Hal Ehwal Pendalaman Britain (British Department of Environment, Food and Rural Affairs) menganggap perisa merupakan sesuatu yang dicipta dan tidak menunjukkan rasa sebenar.
Peraturan Makanan Eropah menyatakan pelabelan sepatutnya tidak mengelirukan pengguna. Agensi Standard Makanan (Food Standard Agency) mengeluarkan garis panduan tentang perkataan dan terma yang boleh digunakan, tetapi ia tidak diikat dengan undang-undang.
Walaubagaimana pun, penggunaan terma ‘organic’ dan ‘free range’ adalah dikawal ketat dari segi undang-undang.
Ketua Pegawai Eksekutif Which? Peter Vicary-Smith menyatakan bahawa perkara ini amat penting untuk difahami oleh para pengguna. Perkataan dan terma yang digunakan dalam pelabelan makanan mestilah jelas untuk memastikan pengguna mengetahui apa yang mereka ambil. Sam Wong
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia |
TELUR DIIMPORT DARIPADA AMERIKA SYARIKAT DICEMARI SALMONELLA | | | |
|
500 ribu telur telah ditarik balik di Amerika Syarikat semenjak kebelakangan ini akibat daripada tercemar oleh mikroorganisma yang berbahaya.
Lebih daripada 1,000 orang telah jatuh sakit kerana mengambil telur yang tercemar ini. Jumlah mangsa dijangka semakin meningkat di Amerika Syarikat.
Wright Country Egg of Galt telah mengumumkan penarikan balik telur keluaran ladang mereka kerana dicemari oleh Salmonella. Ujian makmal telah membuktikan pencemaran Salmonella dalam telur yang ditarik balik itu.
Telur yang dibungkus di bawah jenama Albertsons, Farm Fresh, James Farms, Glenview, Mountain Dairy, Ralphs, Boomsma, Lund, Kemps dan Pacific Coast terlibat dalam penarikan balik ini.
Antara jenama yang disenaraikan itu, Farm Fresh merupakan jenama telur yang dijual di Malaysia.
Menurut pegawai Food and Drug Administration, strain yang mengakibatkan pencemaran telur adalah salmonella enteritidis.
Punca pencemaran mungkin daripada kontaminasi tikus dan makanan ayam. Ladang yang terlibat mempunyai masalah tikus. Mungkin terdapat ayam atau makanan ayam yang tercemar dengan Salmonella.
Bakteria Salmonella tidak menjangkit daripada ayam kepada ayam, tetapi mungkin disebar daripada tahi tikus kepada ayam. Bakteria ini biasanya dijumpai di ovari ayam dan akan memasuki telur ayam.
Gejala jangkitan Salmonella adalah cirit-birit, kejang perut dan demam panas yang berlaku dalam tempoh 8 jam hingga 72 jam selepas mengambil makanan yang dijangkiti Salmonella. Ia mungkin akan membawa maut terutamanya kepada orang yang mempunyai system keimunan yang lemah.
Dr. Christopher Braden, epidemiologis daripada Federal Centers for Disease Control menyatakan bahawa ayam yang sihat mungkin akan menyebarkan bakteria ini kepada ayam yang lain, ia mungkin tidak menunjukkan sebarang gejala pada ayam, tetapi ia akan berkembang dalam telur.
Pengguna dinasihatkan supaya berhati-hati dengan telur yang diimport atau makanan yang berasaskan telur dari Amerika Syarikat. Sekiranya terdapat sebarang jenama atau gejala penyakit yang tersenarai di atas dijumpai, melaporkan kepada pihak berkuasa Bahagian Keselamatan Dan Kualiti Makanan di 03-8885 0600 talian 03-7883 5400 atau Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional di talian 03-7877 9000.
Sam Wong Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia |
BUAT ADUAN JIKA RESTORAN TIDAK LETAKKAN TANDA HARGA | | | |
|
Akhbar hari ini melaporkan tentang air suam di beberapa buah kopitiam di Kuantan mengenakan caj sebanyak 50 sen hingga 60 sen. Beberapa orang pelanggan kopitiam tersebut tidak berpuas hati dengan caj yang dikenakan kerana dianggap sebagai tidak munasabah.
Walaupun harga makanan di restoran termasuk kopitiam adalah tidak dikawal oleh kerajaan, namun ia tidak bermakna mereka boleh sewenang-wenangnya meletakkan harga makanan dan minuman. Menurut Akta Kawalan Harga 1946, semua peniaga hendaklah meletakkan tanda harga bagi barang jualan mereka. Tujuan penandaan harga itu bagi membolehkan pengguna membuat pilihan sama ada hendak melanggan di kedai tersebut atau tidak.
Kebiasaannya pelanggan restoran atau kopitiam akan membayar selepas makan dan minum. Mereka hanya mengetahui harga makanan dan minuman apabila ingin membayar di kaunter. Jika restoran tidak meletakkan tanda harga, maka pengguna boleh mempertikaikan harga yang dikenakan.
Jika pihak restoran enggan melayani bantahan pengguna, maka buat aduan kepada pihak penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan di talian hotline: 1-800-886-800 atau Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) di talian 03-7877 9000. Mohd Yusof Abdul Rahman |
MEDAN SELERA JALAN 223 USANG DAN MENJIJIKKAN | | | |
|
Melangkahkan kaki ke Medan Selera Jalan 223, Petaling Jaya terasa bagaikan seluruh suasana telah bertukar menjadi hitam putih. Seolah-olah seperti anda berada dalam TV dari filem tahun 50-an yang kemudahan-kemudahan yang ada usang dan terbatas.
Tetapi, pengunjung yang datang untuk makan tengah hari nampaknya tidak peduli dengan suasana ini dan terus duduk, makan dan berbual bersama-sama teman. Apa yang menariknya di medan selera ini, pelbagai gerai yang dibuka dengan bermacam-macam pilihan untuk pengunjung. Di sini terdapat beberapa gerai makanan Cina, Melayu dan India yang menepati selera pengunjung. Harganya juga berpatutan. Lebih menggembirakan untuk dilihat apabila toleransi dan sikap tolong-menolong antara pengusaha gerai sangat baik. Kebanyakan pengunjung datang dari bangunan dan kolej berhampiran.
Sayangnya, persekitaran Medan Selera ini tidak dijaga dengan baik. Gerai-gerai yang berkarat dan hampir roboh, ditambah pula dengan bumbung yang sering menempiaskan air tatkala hujan. Ini menyebabkan pengusaha terpaksa menggunakan plastik-plastik untuk menutupi lauk-pauk dan kuih muih yang dijual. Paling menyedihkan adalah tandas di premis berkenaan yang boleh membuatkan anda jijik untuk berada berdekatan dengannya.
Apakah yang boleh pengusaha gerai-gerai di situ lakukan untuk menaik taraf keadaan di situ? Apakah pula yang pengunjung yang selalu datang di situ lakukan untuk mendapatkan makanan dan persekitaran yang bersih? Bukankah golongan-golongan ini berhak mendapatkan sesuatu yang baik? Adakah jawapannya ada pada Majlis Bandaraya Petaling Jaya atau kerajaan negeri Selangor? Saya masih tertanya-tanya jawapannya. Azwani Abdul Rahman
Bahagian Hak Asasi Manusia
ERA Consumer Malaysia |
MI SEGERA – ADAKAH SELAMAT DIMAKAN? | | | |
|
Mengikut trend permintaan mi segera dunia bagi tahun 2007-2009 yang dikeluarkan oleh Persatuan Mi Segera Sedunia (WINA), Malaysia berada pada kedudukan ketiga belas, iaitu sebanyak 11.8 (2007), 12.1 (2008), 12.0 (2009) bagi setiap 100 juta paket. Menduduki tangga pertama adalah China, diikuti oleh Indonesia, Jepun, Vietnam dan Amerika Syarikat.
Pada tahun 1958, Momofuku Ando (gambar) telah mencipta "CHICKEN RAMEN™" iaitu mi segera pertama dunia. Dengan terciptanya mi segera tersebut, sekali gus telah tercipta satu revolusi dalam budaya kulinari. Pada tahun 1971 pula, beliau telah berjaya mencipta "CUP NOODLE ®" iaitu produk mi segera jenis cawan yang pertama di dunia. Usaha dan kreativiti beliau telah berjaya melahirkan satu industri pembekalan mi segera tahunan sebanyak 91.6 bilion hidangan ke seluruh dunia.
Melihat kepada situasi ini, kita boleh membuat anggapan bahawa mi segera ini adalah makanan dunia, bukan sahaja bagi negara yang sedang membangun, malah ia juga menjadi makanan kegemaran di negara maju seperti Amerika Syarikat dan Jepun.
Seperti yang kita sedia maklum, mi segera adalah makanan yang murah, mudah disediakan dan cukup popular dalam kalangan generasi muda. Sesetengah berpendapat bahawa mi segera adalah makanan yang tidak sihat dan tidak selamat untuk selalu dimakan, tetapi ada juga pihak yang mengatakan bahawa mi segera adalah selamat dimakan.
Kekeliruan yang berlarutan sejak sekian lama ini disebabkan oleh kandungan mi segera tersebut yang didapati tinggi dengan karbohidrat dan rendah fiber, vitamin dan mineral. Dikatakan juga bahawa mi segera mengandungi lemak tepu dan lemak trans yang tinggi. Mi segera turut didakwa tidak sihat kerana ia tinggi kalori dan bahan penambah perisa (MSG) yang digunakan di dalam perencah yang disertakan sekali di dalam bungkusannya.
MSG atau nama penuhnya Monosodium Glutamate adalah penambah perisa yang kerap digunakan bukan sahaja di dalam mi segera, tetapi juga di dalam sup, sos, kuah, makanan di kedai-kedai makan dan makanan-makanan di dalam tin. MSG ini dikatakan boleh mendatangkan kesan-kesan kesihatan seperti ruam, serangan asma, sakit kepala dan sawan. Walau bagaimanapun, banyak kajian mendalam perlu dijalankan bagi membuktikan kesan-kesan kesihatan ini.
Namun, bagi menyangkal segala dakwaan ini, hasil analisis makmal Kementerian Kesihatan mendapati mi segera selamat untuk dimakan oleh orang ramai. Berita Harian bertarikh 26 Mei 2010 memetik bahawa analisis yang dilakukan oleh Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) mengenai kandungan garam di dalam sebungkus mi segera itu mendapati kandungan bahan berkenaan tidak melebihi tahap yang disyorkan pihak kementerian.
Pengarah BKKM, Noraini Mohd Othman berkata, secara purata, kandungan garam dalam satu paket mi segera di negara ini adalah antara dua gram hingga tiga gram. Kementeiran kesihatan turut merujuk kepada Panduan Diet Malaysia yang mengesyorkan pengambilan lima gram sehari bagi orang dewasa dan 4.75 gram sehari bagi kanak-kanak selaras saranan Institut Perubatan.
Kementerian turut menjalankan analisis makmal ke atas 73 jenis bekas makanan, termasuk bekas mi dalam cawan yang diperbuat daripada plastik jenis polipropilena serta polistirena dan ujian mendapati semua sampel yang digunakan membuat cawan mematuhi piawaian yang ditetapkan
Noraini juga menjelaskan tahap piawai garam dalam mi segera tidak termaktub dalam Peraturan-Peraturan Makanan 1985 kerana penggunaan garam oleh pihak industri bagi produk mereka adalah bergantung kepada formulasi produk dan tahap penerimaan pengguna.
Menurut pakar pemakanan, Gaiyal Subramaniam berkata, mi segera sememangnya sesuai diambil sebagai alas perut bagi mereka yang tidak sempat mengambil hidangan sempurna. Tetapi seelok-eloknya ubah cara penyediaan hidangan mi segera tersebut supaya ia lebih berkhasiat dan mengenyangkan.
Safra Aina Adnan Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) 21 Jun 2010 |
MAKANAN DAN MIKRORGANISMA YANG MENYEBABKAN PENCEMARAN MAKANAN | |
|
|
|
Makanan merupakan sumber tenaga bagi pertumbuhan dan kehidupan seharian.
Ia juga merupakan salah satu keperluan asas bagi manusia. Sumber makanan kita diperolehi dari tumbuh-tumbuhan, dan haiwan.
Penyediaan makanan dengan cara yang bersih dan sihat akan dapat menjamin keselamatan makanan. Walau bagaimanapun, kita masih diancam dengan pelbagai masalah pencemaran makanan yang membawa kepada kemudaratan. Mikroorganisma – Pencemar Makanan
Mikroorganisma adalah organisma yang sangat kecil dan tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Ia hanya boleh dilihat dengan menggunakan mikroskop.
Mikroorganisma berbahaya yang mencemari makanan akan menyebabkan pelbagai masalah kesihatan terutamanya kepada golongan yang mempunyai sistem imunisasi yang lemah seperti kanak-kanak, wanita yang mengandung dan warga tua.
Jenis-jenis Mikrorganisma Yang Menyebabkan Pencemaran Makanan Standard Keselamatan Makanan
Penghasilan dan cara penyediaan makanan dengan cara yang bersih sangat penting untuk menghindari penyakit yang disebabkan oleh pencemaran makanan.
Pengilang-pengilang dan pembuat makanan harus mengamalkan amalan yang baik ketika mengendalikan makanan.
Untuk membantu para pengilang dan pembuat makanan menyediakan makanan yang selamat, Jawatankuasa Teknikal Sistem Keselamatan Makanan (Food Safety System) telah menyemak semula Standard Malaysia mengenai Panduan Amalan Pengilangan Baik (Good Manufacturing Practises – GMP)
Panduan ini menerangkan dengan jelas mengenai cara sebuah premis harus beroperasi bagi mencegah sebarang pencemaran makanan yang dihasilkan.
Adalah juga penting sebagai seorang pengguna, kita mengamalkan sikap berhati-hati apabila membeli atau menyediakan makanan supaya keselamatan makanan terjamin.
Mohana Priya Persatuan Pengguna- Pengguna Standard Malaysia |
MINYAK MASAK KITAR SEMULA BANYAK DIGUNAKAN DI CHINA |
|
|
|
|
Pihak Berkuasa Pentadbiran Makanan dan Ubatan Amerika Syarikat t telah mengeluarkan surat amaran kepada Biro Kesihatan Amerika Syarikat supaya memeriksa minyak masak yang diimpot dari China. Pihak penguatkuasa Negara China telah melaporkan bahawa restoran di China menggunakan minyak masak kitar semula dan minyak masak yang telah dicemari sisa-sisa makanan untuk memasak. Mengikut kajian WuHan Polytechnic University, mereka mendapati penggunaan minyak kitar semula adalah berleluasa dan tidak dikawal di sesetengah tempat di negara tersebut. Profesor He Dongping menegaskan bahawa nisbah minyak masak kitar semula digunakan untuk menyediakan makanan adalah berkadar 1:10.
Bahagian Penguatkuasa negara itu kini giat mencari kilang-kilang yang menghasilkan minyak masak kitar semula, dan Biro Kesihatan juga diminta mengemukakan nama restoran dan pembekal makanan yang menggunakan minyak masak kitar semula.
Pengguna dinasihatkan supaya berhati-hati semasa menggunakan minyak masak keluaran China ataupun produk keluaran China seperti acar/sayuran yang direndam dalam minyak. Sekiranya terdapat sebarang rasa atau bau yang aneh pada produk tersebut, laporkan kepada pihak berkuasa Bahagian Keselamatan Dan Kualiti Makanan di talian 03-8885 0600 atau Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional di talian 03-7877 9000.
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia 15 April 2010 |
BERAS JASMINE DITARIK BALIK DARIPADA PASARAN AUSTRALIA |
|
|
|
|
Australia Competition & Consumer Commission telah mengisytiharkan penarikan balik bagi beras berjenama Jasmine daripada pasaran. Penarikan balik ini disebabkan oleh kandungan beras ini telah dicemari oleh tatal logam (metal Shaving) yang berbahaya, iaitu boleh mengancam kesihatan sekiranya ditelan.
Produk ini merupakan jenama in-house, yang dibungkus di Thailand. Selain itu, beras ini juga dieksport dan dibungkus di negara pengimport ke dalam bungkusan yang lebih kecil. Nombor pendaftaran pada bungkusan adalah – EAN NUMBER: 9300633964856
Pengguna dinasihatkan supaya memeriksa beras yang dibeli. Sekiranya mereka menemui beras yang bernombor pendaftaran seperti yang dinyatakan di atas, maka mereka hendaklah melaporkan kepada Bahagian Keselamatan Dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia di 03-8885 0600 talian 03-7883 5400 atau Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional di talian 03-7877 9000.
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia 1 April 2010
PRODUK MAKANAN DITARIK BALIK |
|
|
|
|
Syarikat Sunfield Australia Pty Ltd telah menarik balik produknya, Sunfield Carrot Bar dan Sunfield Date Bar daripada pasaran kerana kandungan kacang (Walnut dan Almond) telah dicemari oleh alergen yang boleh menyebabkan kesakitan atau alergi. Produk ini dijual dengan meluas di kawasan New South Wales di Australia. Nombor pengenalan atau kod nombor produk tersebut adalah APN/EAN/TUN Numbers: Sunfield Carrot Bar – 9323136000067 dan Sunfield Date Bar – 9323136000030.
Sekiranya pengguna mendapati barangan ini dijual di pasaran, mereka dinasihati supaya tidak membelinya dan membuat aduan kepada Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan di talian +603-8883 3888.
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia
ATASI KEMELUT KOTAK BERINSULASI TINGGI |
|
|
|
|
Perlaksanaan Kotak Ikan Berinsulasi Bergred Makanan (KIBFG).bermula pada 1 Mac 2010 telah menjadi satu kemelut di antara pengimport dan pemborong ikan dengan kerajaan. Pengimport dan pemborong ikan mengugut untuk memboikot pengimport ikan kerana tidak bersetuju dengan perlaksanaan kotak ikan tersebut. Perlaksanaan kotak ikan berinsulasi tinggi oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) ini bertujuan bagi memastikan kualiti ikan yang diimport berada dalam keadaan selamat, bersih dan segar.
FOMCA amat bersetuju dengan penggunaan kotak ikan berinsulasi tinggi ini kerana faktor keselamatan dan kualiti ikan yang diimport. Sebelum ini, ikan yang diimport dalam keadaan yang rendah kualitinya apabila dijual di pasar. Ini menyebabkan ikan yang dijual itu telah hilang khasiatnya.
Bagi menampakkan seolah-olah ikan tersebut masih segar dan baik, ada pemborong atau penjual yang merendamkan ikan-ikan tersebut ke dalam bahan kimia tertentu, antaranya pengawet mayat, yang dikenali sebagai Fomilin atau formaldehid. Ini boleh menimbulkan masalah keselamatan dan kesihatan kepada pengguna kerana formaldehid dikatakan boleh menyebabkan penyakit kanser.
Dalam hal ini FOMCA merasakan kerajaan tidak sewajarnya bertolak ansur dengan perlaksanaan kotak berinsulasi tinggi ini.
Walau bagaimanapun, kemelut yang berlaku ini perlu ditangani dengan baik oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Tindakan memboikot pengimportan ikan oleh pengimport dan pemborong ikan akhirnya menimbulkan masalah kepada pengguna yang menghadapi kekurangan bekalan ikan di pasaran. Selain itu, penggunaan kotak tersebut yang dikatakan lebih mahal turut menimbulkan masalah kepada pengguna dengan kenaikan harga ikan.
Kerajaan perlu memberikan perhatian yang serius terhadap masalah yang dihadapi oleh pengimport dan pemborong ikan sehingga menyebabkan mereka memboikot import ikan. Jika masalah penggunaan kotak baru itu disebabkan oleh harga yang tinggi kerana terpaksa membeli daripada pembekal yang ditetapkan oleh LKIM, maka sewajarnya kerajaan perlu menghentikan arahan ini. Berikan kebenaran kepada pengimport dan pemborong ikan membeli kotak ikan berinsulasi tinggi sendiri asalkan ia mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh kerajaan.
Apa yang perlu kerajaan lakukan ialah menyediakan piawaian atau garis panduan tentang kotak berinsulasi tinggi yang dibenarkan untuk digunakan oleh pengimport dan pemborong ikan. Jika pembekal kotak berinsulasi tinggi ingin mendapat pengesahan piawaian daripada pihak yang ditetapkan oleh kerajaan, maka kotak itu boleh dijual kepada pengimport dan pemborong ikan.
Dengan cara ini kerajaan dapat melaksanakan peraturan perlaksanaan kotak berinsulasi tinggi, pengimport dan pemborong boleh memilih pembekal kotak berinsulasi yang menjual pada harga yang berpatutan dan pengguna tidak perlu menanggung kenaikan harga ikan dan menghadapi masalah bekalan ikan di pasaran.
MOHD YUSOF ABDUL RAHMAN
2 Mac 2010
Pastikan bekalan gula sentiasa mencukupi |
|
|
|
|
Jaminan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan bahawa harga gula tidak akan dinaikkan sebelum dan selepas Tahun Baru Cina amat dialu-alukan. Jaminan ini bertujuan supaya pengguna tidak membuat pembelian panik dan dalam masa yang sama juga mengelakkan pemborong daripada menyorok bekalan tersebut.
Namun begitu, bagi pengguna, yang penting bukan sahaja faktor harga, tetapi juga bekalan yang sentiasa mencukupi untuk menampung keperluan harian, khususnya untuk kegunaan semasa perayaan, seperti Tahun Baru Cina.
Dalam masa yang sama, kerajaan juga perlu memantau kegiatan pengilang dan pemborong. Pengilang boleh bertindak mengurangkan pengeluaran untuk pasaran runcit dan memperbanyakkan pengeluaran untuk kegunaan industri yang lebih luas pasarannya.
Begitu juga dengan pemborong. Ada peruncit yang mengadu bahawa pemborong menjual gula pada harga RM1.65, menyamai harga runcit yang ditetapkan oleh kerajaan. Apa keadaan ini berlaku peruncit berada dalam keadaan dilema, iaitu sama ada menjual gula tersebut pada harga yang lebih tinggi daripada yang ditetapkan oleh kerajaan, dan bersedia untuk menerima tindakan oleh penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, atau tidak menjualnya langsung. Jika pilihan kedua yang diambil, maka pengguna akan berhadapan dengan masalah ketiadaan bekalan gula.
Akta Kawalan Harga 1946 perlu dikaji semula agar tindakan penguatkuasa tidak hanya dilakukan ke atas peruncit sahaja, tetapi juga kepada pengilang dan pemborong.
20hb Januari 2010 Mohd Yusof Abdul Rahman |
Ambil tahu kandungan dalam makanan |
|
|
|
|
SELAMATKAH makanan yang kita ambil setiap hari? Percayakah makanan itu benar-benar selamat meskipun kita sendiri yang menyediakannya? Ada benarnya ungkapan 'kita adalah apa yang kita makan'. Ia menunjukkan betapa sebahagian diri kita banyak terbina daripada makanan yang diambil setiap hari.
Apa yang dimakan, itulah kelak yang akan membina kesihatan tubuh, fizikal, mental dan spiritual seseorang. Namun, sejauh mana kita menyedari aspek keselamatan termasuk dari segi perolehan, penyediaan dan hidangannya?
Ketua Pegawai Operasi Gabungan Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (Fomca), Piarapakaran Subramaniam, menyifatkan masih ramai masyarakat Malaysia tidak faham dengan tahap keselamatan makanan sama ada bahan mentah atau makanan diproses. "Tanggungjawab meningkat tahap keselamatan dan kualiti makanan terletak pada diri sendiri. Sebagai pengguna, kita perlu faham semua kandungan dalam makanan yang kita ambil dan tidak membuat andaian sendiri. "Mungkin ikan mentah yang dibeli di pasar nampak segar pada luarannya, tapi kandungan plumbum dalam ikan itu boleh diragui.
Begitu juga kandungan dalam bahan makanan yang sudah diproses seperti susu dan biskut. "Di sini pentingnya kefahaman kita mengenai kandungan bahan dalam satu-satu makanan itu, apabila saya lihat masyarakat Malaysia belum memahami konsep itu," katanya ketika sesi perbincangan meja bulat Kenali Makanan Anda anjuran Nestle Malaysia Berhad, baru-baru ini. Justeru, Fomca merancang mengadakan program jelajah kempen kesedaran ke seluruh Malaysia untuk memberi pengetahuan tambahan terutama kepada penduduk luar bandar. "Mereka (penduduk luar bandar) selesa dengan kehidupan yang dijalani selama ini.
Mungkin pada awalnya program ini tidak berjalan lancar kerana daripada maklum balas yang dijalankan Fomca sebelum ini, mereka tidak kisah dengan apa yang dimakan asalkan daripada sumber yang dianggap bersih. "Apa yang mereka tidak faham, ada sesetengah makanan itu tampak elok, tapi mungkin sudah tercemar dengan pelbagai unsur ketika proses pemindahan, jualan dan penyimpanannya. "Selain itu, Fomca turut merancang mengadakan ceramah bagi mengajar masyarakat Malaysia membaca label sebelum membeli makanan dalam tin. "Pengetahuan dalam kandungan bahan makanan itu penting untuk mengelak salah faham dan timbulnya masalah berkaitan kesihatan seperti alahan. "Tapi, kita juga tidak boleh paksa mereka untuk terima semua maklumat yang ingin disampaikan terutama bagi penduduk luar bandar. Maklumat yang akan diberikan juga tidak terlalu berat kerana ia boleh menakutkan mereka hingga akhirnya enggan mengambil satu-satu produk itu.
Menurutnya apa yang penting adalah asas kesedaran kepada makanan yang akan menjadi sasaran utama untuk kempen kesedaran berkenaan. Perbincangan meja bulat itu turut disertai Pengurus Jaminan Kualiti Kumpulan Nestle Malaysia dan Singapura, Jasmine Lee; Timbalan Pengarah Divisyen Kualiti dan Keselamatan Makanan, Kementerian Kesihatan, Shamsinar Abdul Talib; Pengarah Urusan Kumpulan Soon Soon yang mewakili Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia, Datuk Neoh Soon Bin serta beberapa pengarang syarikat akhbar dan televisyen tempatan.
Piarapakaran tidak ketinggalan memberi beberapa tip untuk mengelak masalah pengambilan makanan tercemar. "Seeloknya, makan hasil tempatan, sama ada mentah atau yang sudah diproses. Menggunakan bahan mentah yang ditanam sendiri turut digalakkan. "Walaupun tinggal di kediaman bertingkat, masyarakat boleh berkebun dalam pasu. Selain menjimatkan wang, aspek kebersihan dan keselamatan pasti terjaga. "Selain itu, kami juga menggesa kerajaan mewujudkan akta antimonopoli perniagaan perusahaan makanan untuk membolehkan pengguna mempunyai lebih banyak pilihan," katanya.
|
|
- Kesan pasaran jangka pendek
- Pengguna harus bertindak
- Kurangkan makan ayam
Pengeluaran daging ayam kini adalah 1.3 juta ekor sehari dan 110,000 ekor dieksport ke luar negara. Anggaran kos purata adalah sekitar RM3.70 sekilogram dan harga ladang adalah sekitar RM4.00 sekilogram. Dari keseluruhan hasil daging ayam 70% dipasarkan melalui pasar-pasar basah.
Daging ayam merupakan sumber protin termurah yang dihasilkan di negara ini. Maka pengguna Malaysia semakin bergantung dengan daging ayam sebagai sumber protein seharian. Juga perniagaan sajian dan kedai makanan menyajikan menu ayam sebagai sajian wajib dalam perniagaan mereka.
Maka sebarang perubahan kepada harga runcit memberi impak besar kepada kos sara hidup dan juga peniagaan berkaitan.
Sistem pengedaran yang dikawal oleh beberapa pihak menentukan harga runcitan daging ayam di pasaran runcit. Banyak saranan dan cadangan untuk membanteras kesan manipulasi pasaran tidak berjaya dilaksanakan kerana kejadian harga naik yang bermusim dan ketiadaan satu agensi yang dapat menembusi rangkaian pasaran dan pengedaran hasil pertanian di Malaysia.
Tindakan pihak berkuasa menetapkan harga siling ataupun harga maksimum juga sentiasa memerlukan tindakan penguatkuasaan untuk pematuhan dan sering tidak dapat menjamin pematuhan di seluruh negara. Penngguna di luar bandar sering tanpa pilihan menjadi mangsa, walaupun ia bukan berpunca daripada pihak peruncit tetapi adalah pemborong dan pengedar yang menetapkan harga kepada peruncit.
Maka FOMCA berpendirian bahawa tindakan para pengguna adalah mustahak untuk menetapkan harga yang berpatutan di pasaran runcit.Bagi menghentikan kenaikan harga daging ayam kali ini, FOMCA menasihatkan semua pengguna supaya mengurangkan pengambilan ayam dua hari dalam seminggu. Dengan tindakan ini harga ayam akan pulih kembali kepada paras yang lebih munasabah.
Selaras dengan kempen PERUBAHAN BERMULA DENGAN SAYA, FOMCA mengesyorkan pengguna menggunakan kuasanya untuk menetapkan harga pasaran.
Untuk keterangan lanjut, sila hubungi Muhammad Sha’ani Abdullah di talian 013-3363647 |
Masalah air pada tahap kritikal
KESAN karat pada pinggan makan disebabkan penggunaan air tidak bersih di Rantau Panjang, Kelantan.
SIRI 1 dan 2 Laporan Khas Utusan Malaysia semalam dan kelmarin berkaitan kualiti air di Kelantan mendedahkan mengenai pencemaran bekalan air di negeri tersebut dengan logam-logam berat berbahaya. Kandungan logam-logam seperti arsenik, besi dan mangan serta bakteria E.coli ditemui menerusi ujian makmal Kementerian Kesihatan dari tahun 2008 hingga 2010 dan juga uji kaji yang dijalankan sendiri pihak Utusan Malaysia di makmal bertauliah swasta baru-baru ini.
Hari ini, sambungan laporan khas memfokus kepada isu Kelantan negeri tercorot berbanding negeri lain dari segi bekalan air terawat, iaitu hanya 57 peratus daripada 1.54 juta penduduk menerima bekalan air dirawat atau dibekalkan melalui loji rawatan.
Wartawan MOHD. ASRON MUSTAPHA dan TERMIZI CHE ANUAR serta jurugambar MOHD. NAIM AZIZ kali ini tampil dengan interviu-interviu dengan para penduduk Kelantan yang memberi pelbagai reaksi, luahan dan keluhan berkaitan kesukaran mendapatkan bekalan air bersih dan terawat di negeri tersebut.
Ikuti Siri 3 Laporan Khas Utusan Malaysia berkaitan isu kualiti air di Kelantan yang berkongsi rasa kesengsaraan rakyat negeri itu. KUALA LUMPUR 21 Nov. – Kegagalan Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) menyediakan liputan air terawat secara menyeluruh serta bekalan air yang sering terputus menyebabkan sebahagian besar penduduk negeri ‘Cik Siti Wan Kembang’ terpaksa menggunakan sumber air mentah.
Hasil siasatan selama dua bulan di Kelantan, Utusan Malaysia mendapati terdapat penduduk yang mengalami masalah itu, sanggup mengeluarkan wang poket sendiri semata-mata untuk membeli air bersih di kedai-kedai runcit bagi kegunaan harian.
Ketika berada di di Pusat Perniagaan Bebas Cukai Rantau Panjang, mereka menyaksikan sendiri bagaimana ada peniaga gerai makanan yang menggunakan air ‘boring’ (telaga tiub) yang warnanya kemerah-merahan untuk membasuh pinggan mangkuk.
Masalah air di Sri Pahang bebankan penduduk Masalah terputus bekalan air di Blok Flat Sri Pahang, Lembah Pantai sejak sebulan yang lalu amat membebankan penduduk di flat berkenaan.
Saya hadir bertemu dan melihat sendiri bagaimana kesusahan dan kepayahan penduduk Flat berkenaan yang terpaksa mengambil dan mengangkat air dari tangki air sementara ke rumah masing-masing.
Masalah ini terus saya ajukan sendiri ke Jabatan Pengurusan Perumahan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) setelah aduan secara dalam talian dan aduan yang disalurkan kepada pihak Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) tidak mendapat respons positif. Dalam perbincangan bersama Puan Fauziah Abdullah, Timbalan Pengarah Bahagian Penyelenggaran pada 16 Mei 2011, rumusannya seperti berikut: - Bekalan air terputus disebabkan sistem paip yang telah lama dan perlu ditukar kepada paip yang baru. Namun begitu, jumlah anggaran kos untuk proses penukaran sebanyak RM130,00.00 dan mengambil masa selama sebulan. Dan kos ini ditanggung penuh oleh DBKL.
- Saya juga turut dimaklumkan bahawa, akibat kelalaian dan makluman kerosakan tidak dilaporkan oleh pembantu teknik kepada Puan Fauziah, ini menyebabkan masalah ini berlarutan sehingga kini.
- Saya dimaklumkan juga kaedah alternatif yang digunakan oleh pihak DBKL bagi menyediakan bekalan air sementara melalui tangki yang disediakan. Aturan jadual penghantaran air iaitu 10.00 pagi, 1.00 tengahari dan 6.00 petang.
- Pihak Jabatan Pengurusan Perumahan juga akan melaksanakan kaedah ‘water pamp' bagi membekalkan air ke tangki yang terdapat di bumbung Blok C1 dan C2 dalam masa terdekat.
Saya melahirkan kekecewaan dengan sikap pembantu teknik yang tidak memaklumkan kepada pihak jurutera atasan tentang masalah air di Flat Sri Pahang sehingga 6 minggu masalah ini berlarutan. Kelalaian dan kecuaian ini menyebabkan penduduk di flat tersebut menanggung beban masalah.
Paling malang lagi apabila pihak SYABAS juga semacam melepaskan tangan dalam masalah ini. Sewajarnya masalah ini diselesaikan secara bersama antara pihak SYABAS dan DBKL.
Tidak ada tanggungjawab sosial yang dilakukan oleh SYABAS dalam masalah ini sedangkan masyarakat di flat hidup terbeban dengan masalah ini.
Jika kos penyelenggarannya dikatakan mahal kita bandingkan gaji pengerusi SYABAS sebanyak RM425,000.00 sebulan tetapi masyarakat di bawah hidup dalam kesusahan dan terbeban.
Gaji yang begitu tinggi tetapi dengan aset SYABAS yang meningkat setiap tahun masih lagi tidak mampu melaksanakan tanggungjawab sosial kepada masyarakat.
Sudah tiba masa dan ketikanya untuk kita untuk melaksanakan pilihan raya kerajaan tempatan untuk melaksanakan perubahan dan memilih hanya mereka yang benar-benar komited dalam memberikan khidmat yang terbaik untuk masyarakat dan seterusnya merungkai masalah-masalah rakyat dengan cepat dan berkesan.
Perkongsian maklumat secara telus sebegini dapat menambahbaikkan perkhidmatan kepada masyarakat dan ini sekaligus dapat menyelesaikan masalah yang dihadapai oleh masyarakat dengan cepat dan berkesan.
Saya juga berharap pihak DBKL, khususnya Datuk Bandar Kuala Lumpur dan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar akan mengamalkan ketelusan dalam cara bekerja bermula dengan mendokong inisiatif terbaru.
Tiba masanya kita perkenalkan ‘rundingan penduduk' seperti yang berlaku di parlimen Setiawangsa yang dilancarkan pada 7 Mei 2011 dengan kerjasamaDBKL.
Jika ‘rundingan penduduk' dapat d ilaksanakan di kawasan parlimen Titiwangasa, saya yakin dan percaya jika dilaksanakan di parlimen Lembah Pantai, Datuk Bandar Kuala Lumpur akan bekerjasama erat dan memberikan perkhidmatan terbaik di Lembah Pantai dan di kawasan parlimen yang lain di dalam Wilayah Persekutuan.
Dalam menjayakan usaha ini, saya akan menjemput persatuan-persatuan penduduk di sekitar Lembah Pantai untuk turut serta bersama dalam inisiatif ini supaya permasalahan berkaitan perkhidmatan, penguatkuasaan dan pemuliharaan di Kuala Lumpur dapat disalur terus kepada DBKL.
[INFO] Air Rebusan Maggi Harus Dibuang Mi segera merupakan salah satu makanan yang paling mudah ditemui, praktikal, dan disukai ramai orang kerana rasanya yang enak. Daya simpannya yang lama juga membuat mi segera kerap menjadi pilihan untuk mereka yang tinggal sendiri, namun tak punya masa untuk memasak.
Meskipun begitu, terlalu banyak mengambil mi segera disinyalir akan menimbulkan banyak kesan negatif bagi tubuh oleh kerana kandungan bahan pengawet atau penyedap rasanya. Kemudian, selain kandungan karbohidrat, mi segera tak cukup mempunyai kandungan vitamin, mineral, atau serat, yang bermanfaat bagi tubuh. Sehingga, pada dasarnya mi segera tidak cukup mempunyai nutrisi bagi keseimbangan gizi tubuh manusia.
"Namun yang paling berbahaya adalah adanya kandungan bahan pengawet, MSG (monosodium glutamat), dan bahan pewarna makanan yang ada di dalam mi segera," ungkap dr Patricia Wijaya, doktor ahli kecantikan dari Beauty Inc. kepadaKompas Male, usai pelancaran produk mi segera baru di Switzerland Bel Hotel, Jakarta Pusat, Minggu (8/1/2012) lalu.
Kandungan bahan berbahaya dalam mi segera ini didapati daripada proses pengolahan sampai proses pengawetan yang dilakukan dengan cara menggoreng mi sampai kering. Proses penggorengan biasanya menggunakan minyak goreng, yang membuat air rebusan menjadi keruh dan sedikit berminyak ketika direbus.
"Ramai orang yang mengatakan bahawa air rebusan pertama ini harus dibuang agar pengawetnya hilang. Namun sebenarnya zat pengawet ini tidak akan hilang," tegas dr Patricia.
Air rebusan mi segera yang pertama akan mengeluarkan minyak dan bahan kimia lain yang mungkin digunakan untuk membuatnya. Namun, bahan pengawet dan kandungan lain yang berbahaya bagi kesihatan ketika diolah lebih lanjut ini tidak akan hilang 100 peratus. Ia hanya akan berkurang sedikit ketika air rebusan pertama dibuang.
Kandungan minyak, bahan pengawet, MSG, dan bahan pewarna masih akan tetap melekat pada mi segera meski kadarnya sudah berkurang beberapa peratus. Perlu anda ketahui, penggunaan bahan pengawet tak selamanya membahayakan, kerana pengeluar mi segera tentunya harus mengikuti standard yang selamat yang ditetapkan Badan Pengawas Obat dan Makanan (BPOM). Namun kandungan bahan kimia ini masih berpotensi untuk menyebabkan berbagai gangguan kesihatan apabila diambil secara rutin. "Kesan yang dirasakan memang adalah kesan jangka panjang, contohnya gangguan pencernaan, konstipasi, sampai kanser pencernaan, dan lain-lain," tegasnya.
Dalam jangka panjang, bahan kimia tersebut juga akan sangat berbahaya bagi kecantikan wajah dan kulit. Kulit menjadi lebih kering, yang kelak akan menimbulkan pelbagai gejala penuaan awal. Selain itu, mi segera juga akan merosakkan program diet anda, kerana kadar kalorinya tinggi. Sekali lagi, boleh-boleh saja menikmati mi segera, tetapi sebaiknya tidak diambil terlalu kerap. Jangan menjadikan mi segera sebagai makanan utama, melainkan sebagai jajanan selingan saja. Tetaplah mengambil makanan dengan gizi seimbang untuk sarapan pagi, makan tengahari, dan makan malam.
Sumber: [INFO] Air Rebusan Maggi Harus Dibuang | Kakiharu Blog™ http://kaki-haru.blogspot.com/2012/02/info-air-rebusan-maggi-harus-dibuang.html#ixzz1wYkNwIbx
|
|
|
|
|
|
|
|
|