"Minuman Ringan" Beralkohol Sasar Golongan Remaja

Pasaran Malaysia sekali lagi dibanjiri  minuman ringan  beralkohol yang mensasarkan golongan  remaja.

Pada Ogos 1997, CAP mendedahkan tentang bahaya di sebali penjualan alcopop, minuman memabukkan yang digunakan  oleh industri alkohol  untuk menawan hati remaja. Kini selepas 11 tahun, jenis minuman yang sama, yang direka bentuk dan dipek  seperti  minuman ringan, sekali lagi beredar di pasaran.

Sungguhpun undang-undang secara jelas menyebut penjualan minuman beralkohol  dilarang kepada  golongan  di bawah  18 tahun, minuman ini dijual  dengan  bebas dan mudah dibeli  oleh pelajar  sekolah  di pasar raya dan kedai roti. Ia terdapat dalam botol dan paket  menarik  yang berwarna warni untuk menarik perhatian golongan  muda.

Sesetengah minuman ini mengandungi sehingga 5.5% alkohol. Peratusan ini lebih tinggi  daripada  kandungan  alkohol  dalam bir, namun minuman ini masih bebas dijual kepada remaja.

Ada kemungkinan mereka  meminumnya tanpa  mengetahui ia mengandungi  alkohol  pada paras yang tinggi. Ini disebabkan labelnya agak  mengelirukan, dengan memberi gambaran seolah-olah ia tidak memudaratkan

Biasanya ia memaparkan gambar  buah-buahan, dan label mencatatkan nama-nama minuman ringan seperti  buah-buahan tropika, teh ais limau dan  jus oren. Kandungan alkoholnya dicetak dalam tulisan  yang kecil dan sukar  dilihat. Pengguna mungkin tersalah anggap bahawa mereka membeli air buah atau minuman ringan.

CAP menggesa pihak berkuasa  menguatkuasakan undang-undang yang melindungi  golongan belia  daripada  menerima kesan buruk minuman beralkohol.



Terlalu Banyak Gula, Garam dan Lemak dalam Bijirin Sarapan

Baru-baru ini majalah Which? terbitan  Persatuan Pengguna England telah meneliti 275 jenis bijirin sarapan  dan mendapati produk  tersebut mengandungi terlalu  banyak gula, garam dan lemak. Amalan memakan terlalu banyak bahan-bahan ini tidak baik untuk  kesihatan. Gula boleh menggemukkan kita sementara garam  dikaitkan dengan  tekanan darah tinggi dalam kalangan  kanak-kanak dan masalah jantung.

Lebih 3/4 (76%) bijirin tersebut mengandungi  terlalu banyak gula, 1/5 (19%) mengandungi terlalu banyak garam, dan 7% mengandungi terlalu banyak lemak tepu.

Di sebalik imej sihat yang ditonjolkan, Kellogg's All-Bran dan  satu lagi jenama mengandungi paling banyak garam berbanding kadar yang  disarankan.

Lemak menjadi pesalah terburuk iaitu kira-kira 28.5g lemak per 100g.

Tiga produk bijirin  sarapan mengandungi  4g lemak tepu bagi setiap  hidangan  yang disarankan- sama seperti memakan dua butir telur goreng.

Apa yang lebih membimbangkan, 88% bijirin sarapan  yang disasarkan  kepada  kanak-kanak terlalu bergula. Kira-kira  13%  terlalu  bergaram  dan 10% terlalu  banyak lemak tepu.

Misalnya, Kellogg's Coco Pop Straws mengandungi  jumlah gula yang sama seperti dua batang Kit Kat(34g per 100g)

Tidak Sihat Namun Digemari

Coca-Cola Menjadi jenama barangan yang paling banyak diiklankan dengan kos iklan tahunan sekitar RM 5.4 (RM 5,400,000,000). Itulah sebabnya Coca-cola menjadi minuman yang paling laris di dunia.


Sungguhpun minuman ringan kini seolah-olah menjadi sebahagian daripada gaya hidup kita, namun kita kurang menitikberatkan tentang kandungannya. Malahan ramai di antara kita tidak menyedari bahawa minuman ini sebenarnya tidak berkhasiat. Kebanyakannya hanyalah air yang bercampur bahan-bahan berkarbonat, asid, pewarna, perisa dan pemanis yang membahayakan kesihatan.

Minuman ringan sering digelar makanan remeh kerana khasiatnya  terlalu rendah berbanding risiko bahayanya yang tinggi ke atas kesihatan.Hakikatnya minuman ringan boleh menimbulkan pelbagai masalah kesihatan antaranya osteoporosis (kerapuhan tulang), kegemukan, kerosakan dan kakisan pada gigi serta kanser. Kesemuanya disebabkan kandungan bahan ramuannya. Lebih buruk lagi ia boleh menjejaskan kesihatan kanak-kanak dan remaja.

Penemu bersama insulin, Dr Charles Best pernah mendakwa minuman ringan mempunyai banyak persamaan dengan minuman keras. Sirosis hati telah dikesan dalam remaja yang banyak meminum minuman ringan dan penagih alkohol yang kronik, demikian menurut penulis buku Consumer Beware, Beatrice Hunter.


Dalam satu kajian yang dijalankan oleh Institut Pemakanan di Rio De Janeiro ke atas kanak-kanak sekolah berusia antara 6 hingga 14 tahun yang meminum banyak Coke, Fanta dan Pepsi, kesemuanya menunjukkan masalah kekurangan zat makanan melibatkan protein/kalori.



Makanan segera yang Tidak Sihat

Industri  makanan segera yang menggunakan  pelbagai iklan menarik  untuk menjual  makanan yang kurang  berkhasiat kepada  kanak-kanak telah membentuk  tabiat  makanan yang tidak sihat di seluruh dunia.


Makanan seumpamanya tidak sihat  kerana  ia mengandungi  terlalu   banyak lemak, gula, garam dan kolesterol. Kadangkala satu  hidangan  makanan  segera  boleh  mengandungi lebih daripada 100% pengambilan  harian  yang disarankan. Ini menjadikan kanak-kanak gemuk dan tidak sihat.

Pada tahun 2002, pakar makanan  berkata buat kali pertama dalam sejarah terdapat lebih ramai  orang gemuk berbanding yang kekurangan zat. Di Amerika misalnya, 65% orang dewasa gemuk.

Minuman ringan yang mengandungi  banyak gula juga boleh menggemukkan anda. Purata setin minuman ringan mengandungi  kira-kira 8 sudu teh gula.

Jika anda gemuk, anda berkemungkinan menghidap diabetes, penyakit jantung, strok, kerosakan gigi, tulang yang lemah dan sebagainya.

Kepentingan Kebersihan Makanan

Kebersihan  makanan bermaksud  memastikan makanan dalam keadaan yang bersih  dan sesuai untuk dimakan. Makanan yang selamat dimakan  mengurangkan risiko pencemaran, keracunan dan penyakit.

Kes keracunan  makanan sering berlaku, biasanya sederhana tetapi  ada kalanya membawa maut. Ia menyebabkan anda  muntah, kejang perut dan cirit-cirit.

Di Amerika, setiap tahun terdapat  78 juta kes keracunan makanan yang meragut  nyawa 5,000 mangsa.

krisis Makanan Dunia


KENAIKAN HARGA MAKANAN telah menimbulkan masalah kelaparan, kesakitan dan kegelisahan dalam kalangan penduduk miskin seluruh dunia. Harga gandum naik sebanyak 130 peratus pada tahun 2007. harga beras di Asia naik dua kali ganda dalam tempoh tiga bulan pertama tahun 2008. Harga barangan keperluan lain seperti minyak masak, daging, dan produk tenusu turut naik.

Dari Haiti ke Cameroon hingga ke Bangladesh, orang ramai menyuarakan bantahan dan kemarahan secara terbuka kerana tidak mampu membeli makanan yang diperlukan. Bimbang dengan keadaan politik yanh kacau- bilau, pemimpin-pemimpin dunia telah merayu agar bantuan makanan, dana dan teknologi dihulurkan demi meningkatkan hasil pertanian.

Adakah ini bermaksud kekurangan makanan? Tidak. Kenaikan itu merupakan kesan langsung globalisasi neoliberal selama tiga dekad, yang mana keuntungan lebih penting daripada nyawa.

Petani di seluruh dunia mencatatkan sejumlah 2.3 bilion tan bijirin pada tahun 2007, naik 4 peratus dari tahun sebelumnya. Sejak 1961, output global naik tiga kali ganda sementara jumlah penduduk meningkat  dua kali ganda. Sebenarnya makanan yang dihasilkan cukup untuk menampung keperluan semua orang. Masalahnya ia tidak sampai kepada yang memerlikannya.

Pakar-pakar telah memberi pelbagai penjelasan mengenai krisis makanan antaranya kemarau yang menjejaskan tanaman, permintaan yang tinggi dari China dan India, dan penukaran besar- besaran tanaman  dan tanah kepada hasil keluaran biofuel. Kesemuanya menyumbang kepada krisis makanan semasa tetapi ia tidak menjelaskan  dengan terperinci apa yang berlaku.

Keuntungan besar sebenarnya diraih oleh perbadanan dan pelabur. Cargill, pedagang terbesar bijirin dunia, menikmati 86 % peningkatan keutungan daripada dagangan komoditi dalam tempoh suku penggal pertama tahun ini. Bunge, satu lagi pedagang makanan yang terbesar memperolehi 77 % kenaikan pada tahun 2007. ADM , pedagang bijirin kedua terbesar di dunia, mencatat 67 % keuntungan.

Syarikat jualan runcit juga menikmati untung besar. Keuntungan Tesco, pasar raya besar milik UK mencatatkan keuntungan 11.8 % tahun 2007. peruncit utama lain seperti Carrefour (Perancis) dan Wal-Mart (AS) berkata jualan makanan menjadi sektor utama yang terus menikmati keuntungan.

Sejak 30 tahun yang lalu, Dana Kewangan Antarabangsa dan Bank Dunia telah mendesak negara-negara Dunia Ketiga supaya menghapuskan segala bentuk perlindungan untuk petani tempatan dan membuka pasaran kepada perniagaan tani dunia, spekulator dan mensubsidi makanan dari negara kaya. Akibatnya kebanyakkan negara membangun bertukar daripada menjadi pengeksport bersih kepada pengimport makanan.

Punca sebenar krisis makanan adalah globalisasi itu sendiri. Ia menukar makanan daripada menjadi sumber mata pencarian kepada satu komoditi yang amat menguntungkan dengan membelakangkan kelaparan penduduk miskin.

Fakta Yang Dirahsiakan


Ramai daripada kita membesar dengannya. Industri menyarankan kita masih memerlukannya tetapi separuh  daripada  orang dewasa dunia tidak dapat menghadamkannya.

Bagi mereka yang boleh, risiko penyakit apabila mereka mengambilnya. Pakar pediatrik memberi  amaran ia boleh  menyebabkan  tindak balas  alergi, anemia dan diabetes di kalangan kanak-kanak.

Kardiologis berkata ia akan menyumbat arteri kita. Ahli antropologi berkata  selepas usia dua tahun, kita tidak memerlukannya lagi